Ini kisah TV...
Semalam, study lewat malam... badan penat langsung tak ingat. Tak perasan ada pengumuman Hari Mula Puasa Tahun malam ni.
Tiba-tiba hati jadi sayu...
Sebak dijiwa...
Mata ini rasa ingin menumpahkan airnya yang lama terbendung, bila mengenangkan zaman kanak-kanak.
Nostalgia lama kembali terimbau.
Aku terbang melayang kembali ke zaman dulu. 18 Tahun lepas.
Saat aku masih bersekolah rendah.
Setiap kali Ramadhan semakin hampir....
Lepas solat maghrib berjamaah abah pasti mengarahkan kami adik beradik tunggu dihadapan TV beramai-ramai. Volume TV di tingkatkan. TV buruk kami paling jelas hanya channel TV1, itu pun setelah Arial dipusing-pusingkan galah luar rumah. Sebagai anak kedua Aku lah yang menjadi tukang pusing, kerana sering tidak puas hati dengan kualiti skrin.
Dah menunjukkan sifat cerewet ketika itu.
TV2 dan TV3 hanya sekadar boleh lihat. Itu pun setelah dipusingkan semula galah yang menyokong arial. Maksudnya, nak tukar channel lain terpaksa keluar dan pusing. Kalau ada filem Kung Fu yang menarik di TV2, keluar dan pusing lagi... Channel lain pulak best, pusing lagi.... begitulah seterusnya...
TV yang bersaiz 19" itu telah dibaiki lebih 3 kali. Abah hanya menghatar kepada juruteknik TV kampung tidak bertauliah kerana katanya lebih murah. Pernah TV kami lebih sebulan dibaiki sebab tiada spare-part. Nak hantar kedai tak tahu kosnya....
TV buruk yang sangat berjasa.
TV yang siarannya kurang jelas.
TV antenanya bertiangkan buloh, terpaksa dipusing-pusing bulohnya.
Disitu mata kami semua tumpukan perhatian... ada yang duduk atas sofa, ada yang dibawah dan ada yang atas kerusi plastik merah.
Kami semua menunggu dengan penuh sabar.
Bukan sebab teruja, tetapi arahan dari ketua keluarga. Saban tahun dah jadi terbiasa.
Kata Abah, biasanya pengumuman akan dibuat ditengah-tengah siaran berita jam 8.00.
"Kalau puasa esok, pengumuman akan diawalkan. Kalau puasa lusa, lewat lah sikit." - Abah
Ia teori Abah sendiri. Kami tak pernah kemukakan persoalan tentang perkara tersebut.
Cuma, kesimpulan yang Abah buat adalah nak memudahkan orang ramai bersiap untuk ke surau solat tarawih.
Kadang-kadang ia menjadi nyata seperti apa yang Abah cakap. Naluri orang lama. Mungkin aku perlu buat kajian bagi mengesahkan teori ini.
hehe...
Saat pengumuman dibuat, semuanya diam. Suasana menjadi sunyi, sepi. Krik! Krik! Krik!
Orang cakap “Malaikat lalu kot”…??????
“Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum w.b.t. Maka dengan ini, saya Penyimpan Mohor Besar Raja2 Melayu, setelah diperkenankan oleh Duli2 Yang Maha Mulia Raja2, adalah dengan ini, mengisytiharkan bahawa tarikh Awal Ramadhan jatuh pada hari…”
Sumber Image: KLIK SINI |
Selesai kata-kata keramat itu dilafazkan... kami adik beradik riuh seolah-olah nak raya. Sedangkan ia hanya pengumuman puasa.
Suasana mula berubah.
Mood berpuasa merasuk kedalam jiwa.
Itulah ruti wajib kami setiap tahun. Mononton pengisytiharan hari mula puasa di TV.
Aku pelik dan pernah ingin membantah.
Kenapa perlu arahan menonton pengumuman mula puasa? Jika tengok atau tidak tetap kena puasa. Boleh tahu juga nanti.
Rupanya itu cara Abah.
Cara mendidik kami semua. Secara langsung dan tidak langsung.
Abah ingin kami bersedia dan menghargai bulan yang penuh rahmat dan barokah. Walaupun kami masih lagi kecil. Minda separa sedar kami tetap segar. Kami empat beradik, dua lelaki dua perempuan, kongsi rasa yang sama.
Puasa menjelma bukannya bersedia persiapan makanan, tetapi Abah mempersiapkan kami dengan roh dan jiwa menyambut kedatangan Ramadhan.
Menonton pengumuman puasa muncul "rasa" dalam jiwa untuk menyambut bulan Ramadhan. Bukannya tidak menonton tidak "rasa". Tetapi, ia menjadi kenangan zaman kanak-kanak yang tidak boleh dilupakan.
Sehingga, rasa tidak lengkap persiapan ramadhan tanpa mendengar pengisytiharannya. Abah berjaya mencipta kenangan yang terindah dalam meperkenalkan kami erti berpuasa.
Ia kaedah yang sangat halus dan berfathonah. Itulah niat. Niat yang muncul sendiri.
Sekarang baru aku terasa bila berjauhan dari mereka.
Terbayang wajah mak dan keringat abah.
Tinggal mereka sahaja di kampung menonton TV berdua. Apa rasa mereka saat kami semua tiada... Mendengar pengumuman mula puasa tanpa berteman. Pasti sunyi dan sepi... Kosong menoleh kanan dan kiri....
Anak-anak yang lain semuanya diperantauan. Masing-masing punya TV besar dan cantik siarannya.
Ada Astro.
Ada Njoi.
Dah tak perlu pusing-pusingkan buluh galah panjang yang menyokong Arial TV lagi.
Malah, TV anak-anak Abah lebih besar.
Aku betul-betul menangis ketika ini...
Jam pukul 3.41 pagi...
Teringkat mereka berdua...
Al-Fatihah 3x...
Al-Ikhlas 3x...
Video dibawah lami menambah air mata ku mengalir.
Surat seorang Ibu.
Awal Puasa...
Kami hidup sederhana.
Setiap kali puasa menjelma, Abah tetap bersederhana. Terutama persediaan makanan.
Yang ada hanya kurma paling murah dibeli di kedai Ustaz, di Pekan Gunung Semanggol. Abah beli dalam kuantiti yang banyak supaya bertahan sehingga penghujung Ramadhan.
Lagi satu, telur asin sebagai penambah selera sewaktu bersahur.
Itu sahaja persediaan makanan Abah sediakan.
Kata Abah, yang penting adalah amalan dan ketenangan. Ia tiada dijual beli. Percuma.
"Bulan puasa ni lah ada masa untuk Bangah hafal suarah-surah lazim yang masih belum dihafal." - Abah
Hari mula puasa, suasana hening, dapur kosong, dan mak akan membersihkan peralatan yang sering digunakan sebelum ini.
Mak akan mula memasak juadah berbuka selepas solat zohor. Aku pernah bertanya,
"kenapa Mak masak awal sangat?, orang lain tengok lepas asar baru mula memasak..."
Mak jawab ringkas:
"Nanti mudah nak baca apa yang patut sementara tunggu waktu berbuka" - Mak
Bila petang, Abah akan bawa pulang bubur lambok, atau kanji. Di Kelantan lebih terkenal dengan Nasi Air. Iaitu nasi hancur yang dimasak dengan pelbagai campuran seperti daging, ayam, sayur, mengikut selera masing-masing. Ia makanan percuma setiap bulan puasa dari Masjid Gunung Semanggol.
Kadang-kadang ia menjadi tugas Aku. Setiap keluarga hanya diperuntukan 2 bungkus. Kadang-kadang kalau pergi lewat boleh dapat lebih. Ada juga masanya, lewat sangat hanya tinggal kawah besar kosong yang belum dibasuh.
Sumber Image: KLIK SINI |
Walaupun juadah berbuka kami tidak mewah, tapi sangat meriah. Kami berbuka dengan penuh gembira. Abah akan memastikan kami tunggu dihadapan hidangan. Tiada seorang pun dibenarkan melakukan kerja lain tambah-tambah menonton TV.
Abah kata, sunnah menunggu waktu berbuka.
Kami berjimat, hanya 3 biji kurma sahaja diperuntukan untuk setiap orang.
"Air Ais tak boleh minum bulan puasa. Esok siang nanti penat dan tak larat nak buat kerja." - Kata Emak.
Abang Long akan membaca doa berbuka, kemudian mengimamkan solat maghrib berjemaah sekeluarga sebelum ke surau untuk solat tarawikh.
Sekarang...
Dah banyak tahun mereka hanya berbuka berdua.
Tanpa ditemani anak-anak.
Ia rasa yang sukar untuk digambarkan.
Mungkin anda baca hanya sekadar cerita. Cerita yang biasa-biasa.
Tetapi Aku "merasa" dan melalui perjalanannya.
Allahuakbar...
Berulangkali Allah s.w.t. mengingatkan dalam Surah Ar-Rahman:
"...maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?.."
Surah Ar Rahman
Abah mecipta keindahan puasa kepada kami.
Dikeheningan pagi Ramadhan, Hakim berbisik sendirian.
“Hanya kepada Allah ku serahkan segala-galanya.”
"Ya Allah, ampunilah kami dan kedua orang tua kami, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin."
Saljuhumairah...
Jam 3.58 a.m.
Jitra, Kedah.